KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) merangka pelan pemusatan bagi kaedah mempromosi produk pelancongan domestik. Ia berikutan kaedah sedia ada hanya memberi tumpuan kepada produk pelancongan mengikut negeri dan tidak bersifat menyeluruh. Timbalan Menterinya, Khairul Firdaus Akhbar Khan, berkata pelan promosi baharu itu mungkin diseragamkan mengikut wilayah, selain membabitkan pelbagai agensi berkaitan. "Pelbagai tarikan di negara ini kurang berjaya dipromosi secara berkesan berikutan tiada bidang pengkhususan, menyebabkan kekeliruan terutama dalam kalangan pengembara.
"Masalahnya dari dahulu, setiap negeri cuba mempromosikan produk mereka, sekali gus tiada bidang spesifik boleh dipromosikan. "Kita akan pastikan negeri yang ada persamaan atau berhampiran bekerjasama untuk membuat pemasaran, membabitkan keseluruhan wilayah berkenaan. "Contohnya di Pantai Timur, mungkin Kelantan dan Terengganu perlu bekerjasama mempromosi produk di kedua-dua negeri secara mendalam," katanya. Beliau menjawab celahan Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) ketika sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 peringkat Jawatankuasa bagi kementerian di Dewan Rakyat, hari ini.
Sementara itu, Khairul Firdaus berkata, peruntukan khas bernilai RM30 juta berkemungkinan dibelanjakan bagi penambahbaikan hotel bajet dan inap desa yang terjejas akibat banjir di seluruh negara. Bagaimanapun, katanya, perincian peruntukan khas itu belum dikemukakan Kementerian Kewangan selain menjelaskan nilai berkenaan boleh digunakan bagi tujuan lain. "Kita ada bajet khas untuk tahun ini. Berkemungkinan besar, ia akan diperuntuk secara geran padanan bagi pembaikan hotel bajet dan inap desa (terjejas akibat banjir)," katanya menjawab celahan Datuk Jalaludin Alias (BN-Jelebu).