06 Dec, 2022
A- A A+

Facebook twitter You Tube Instagram

pahangtourism 

Selamat Datang Ke Laman Web Rasmi Perbadanan Kemajuan Bukit Fraser

Banjir: Janda Baik dijangka rugi RM12 juta - 10 Januari 2022

BENTONG - Lokasi pelancongan popular Pahang, Janda Baik di sini dijangka mengalami kerugian kira-kira RM12 juta apabila sebahagian kawasan tumpuannya tidak boleh beroperasi selama empat bulan selepas musnah dalam bencana banjir berpunca daripada kejadian kepala air baru-baru ini. Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Kebudayaan, Perladangan dan Komoditi Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin berkata, antara lokasi paling teruk terjejas akibat banjir pada 18 Disember lepas ialah Pulau Santap yang merupakan pusat rekreasi utama Janda Baik.

Secara keseluruhannya, sebanyak 33 buah daripada 54 tempat peranginan atau resort dan chalet di Janda Baik musnah teruk dengan kos kerosakan dianggarkan antara RM157,500 hingga RM6 juta bagi setiap tempat peranginan atau chalet terlibat. "Kita akan memohon kepada kerajaan Persekutuan untuk membantu memulihkan semula kawasan terlibat dengan memberikan peruntukan khas yang boleh diutamakan untuk kerja baik pulih infrastruktur seperti jalan raya, kawasan awam dan jambatan. "Selain itu, kita juga mohon pertimbangan diberikan kepada pengusaha pelancongan di sini mendapatkan kemudahan pinjaman fleksibel untuk mereka memulihkan resort atau chalet yang rosak yang akan menelan belanja besar seberapa segera yang boleh," katanya.

Mohd Sharkar berkata demikian pada sidang akhbar selepas meninjau kemusnahan akibat banjir di sekitar Pulau Santap di sini pada Isnin. Turut hadir ialah Pengurus Besar Tourism Pahang, Kamaruddin Ibrahim. Tourism Pahang juga menurut Mohd Sharkar, akan menyenaraikan lokasi di Janda Baik yang terpaksa ditutup sementara dan tempat peranginan atau chalet yang masih boleh menerima kehadiran pelancong untuk semakan mereka yang berhasrat melancong ke situ. Sumber: Sinar Harian

Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/182292/EDISI/Banjir-Janda-Baik-dijangka-rugi-RM12-juta © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf

Banjir lumpur: Tiga pelancong masih hilang - 19 Disember 2021

BENTONG - Tiga pelancong tempatan masih hilang dikhuatiri lemas kerana dibawa arus sungai dalam insiden banjir lumpur di sebuah calet di sini pada Sabtu. Dalam kejadian tersebut, 32 lagi pelancong terdiri 24 orang dewasa dan selebihnya kanak-kanak berjaya diselamatkan. Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, Pusat Gerakan Operasi (PGO) telah menerima panggilan kecemasan pada jam 10.40 malam melibatkan banjir lumpur.

Menurutnya, seramai 22 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Genting Highlands dibantu BBP Gombak bersama tiga anjing pengesan (K9) dan tujuh anggota Unit Pengesan terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa. "Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) juga digerakkan bagi membuat kerja-kerja menyelamat mangsa yang dilaporkan dalam keadaan kesejukan dan tidak berani untuk berada di dalam calet yang tidak selamat diduduki disebabkan ancaman arus sungai deras. "Pada jam 4.09 pagi (Ahad), semua mangsa berjaya ditemui dan kerja-kerja menyelamat dijalankan dan tamat pada jam 8.30 pagi.

"Setelah pengiraan dibuat, didapati seorang lelaki dan wanita dewasa serta seorang kanak-kanak lelaki hilang dibawa arus sungai," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Ujarnya, kawasan pencarian dijalankan pada jarak 300 meter radius dari kawasan kejadian.

Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/178838/BERITA/Semasa/Banjir-lumpur-Tiga-pelancong-masih-hilang © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf

Sediakan pakej berbasikal di destinasi pelancongan - 28 November 2021

TEMERLOH - Agensi-agensi pelancongan di negeri ini diseru menyediakan lebih banyak pakej aktiviti berbasikal di destinasi pelancongan berikutan populariti aktiviti tersebut. Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin berkata, ia dapat memberi pilihan kepada penggemar aktiviti itu untuk memilih destinasi pelancongan bersesuaian dengan minat mereka.

Menurutnya, aktiviti itu juga diminati pelancong asing yang ingin menerokai lebih banyak destinasi menarik menerusi berbasikal selain masyarakat setempat. "Bagi merancakkan aktiviti berbasikal selain mempromosikan destinasi pelancongan negara, Tourism Pahang mencadangkan agensi pelancongan menghasilkan lebih banyak pakej-pakej aktiviti ini di destinasi pelancongan. "Ia dapat memberi pilihan penggemar aktiviti ini memilih destinasi bersesuaian dengan kehendak dan citarasa mereka.

"Sebagai contoh, pada 2014 sebanyak 4,072 buah pakej pelancongan berbasikal bernilai RM725,612 telah dijual di seluruh negara," katanya dalam ucapan perasmian penutup acara Temerloh Titik Tengah Semenanjung Ride 2021 anjuran Tourism Pahang di pekarangan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Angin di sini pada Ahad. Teks ucapan beliau dibacakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Semantan, Datuk Nor Azmi Mat Ludin.

Hadir sama, Ketua Zon Dua Pahang, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Sobri Mohamed Salleh dan Ketua BBP Bukit Angin, Jalailuddin Abdul Mubin.

Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/174964/EDISI/Sediakan-pakej-berbasikal-di-destinasi-pelancongan © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf

RM600,000 bantu pemain industri pelancongan terjejas- 6 Disember 2021

KUANTAN - Kerajaan Pahang telah menyalurkan bantuan hampir RM600,000 kepada pemain industri pelancongan yang terkesan ekoran pandemik Covid-19 sejak tahun lalu. Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, bantuan melalui Tourism Pahang itu termasuk bantuan khas kepada pemandu pelancong dan pengusaha bot pelancongan di negeri ini.

Menurutnya, seramai 522 penerima menerima manfaat bantuan tunai RM100 dan barangan bermilai RM50 dengan jumlah keseluruhan RM78,300 itu. "Pada masa sama, Bantuan Prihatin Covid-19 turut dihulurkan kepada golongan itu dengan 450 penerima. "Setiap penerima menerima bantuan tunai RM600 dengan jumlah keseluruhan RM270,000," katanya. Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teruntum, Sim Chon Siang pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang, di sini pada Isnin. Mohd Sharkar berkata, kerajaan negeri turut membantu badan bukan kerajaan (NGO) sektor pelancongan di negeri ini.

"Sebanyak empat NGO menerima manfaat bantuan dengan jumlah peruntukan keseluruhan RM80,000," katanya.

Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/176431/EDISI/RM600000-bantu-pemain-industri-pelancongan-terjejas © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf

Pelancong sudah datang, tapi harga barang naik pula - 7 November 2021

Cameron Highlands: Suasana suram di kawasan peranginan tanah tinggi ini hampir dua tahun lalu kembali meriah apabila menerima kunjungan pelancong sempena cuti panjang Deepavali dan hujung minggu. Tinjauan portal Harian Metro mendapati kenderaan berduyun-duyun memasuki Cameron Highlands dengan kebanyakan hotel dan inap desa penuh ditempah pelancong sejak seminggu lalu. Pengusaha kebun strawberi, Zulkifli Zahari, 61, berkata kedatangan pelancong yang ramai memberi nafas baharu kepada perniagaan mereka selepas sepi sekian lama.

"Keadaan di Cameron Highlands kembali meriah dengan kedatangan pengunjung melihat buah strawberi sambil menjamu selera berbanding hampir dua tahun sunyi sepi," katanya. Pengunjung dari Pasir Mas, Kelantan, Zahari Alias, 48, berkata dia bersama keluarga datang ke pusat peranginan itu selepas hampir dua tahun tidak membawa keluarga bersiar-siar. "Walaupun perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, ia tidak menghalang kami untuk bercuti bagi menikmati suasana dingin di sini," katanya.

Sementara itu, Alias Shamsuddin, 65, dari Pekan, Pahang berkata, kedatangan pelancong memberi rezeki kepada peniaga yang sebelum ini tidak dapat beroperasi.  Menurutnya, dia bagaimanapun rasa kesal kerana harga barangan untuk dibuat ole-ole di kawasan yang menjadi tumpuan pelancong sedikit mahal berbanding dulu. "Kalau dahulu harga strawberi cuma RM30 sekilogram, tetapi kini dijual antara RM45 hingga RM60 sekilogram. Strawberi dalam paket 200 gram biasanya dijual RM7 atau RM20 untuk tiga paket tetapi kini dijual RM 10 sepaket.

"Begitu juga jagung susu, dulu hanya RM2.50 setongkol, tetapi sekarang harganya RM3.50 manakala setongkol, jagung mutiara pula dijual RM2 setongkol berbanding dulu tujuh tongkol RM10," katanya. Katanya, dia berharap peniaga di pusat peranginan tanah tinggi itu tidak mengambil kesempatan dengan kedatangan ramai pelancong. "Peniaga perlu menggunakan kreativiti supaya dapat menarik lebih ramai kehadiran pengunjung dan memastikan mereka tinggal lebih lama di sana, bukannya mengambil kesempatan," katanya.

 mygov sukpahang pemudah hrmis bpa iim jpa ksn mampu msc spa spr

Jumlah keseluruhan kedatangan pelancong ke Pahang dari tahun 2015 sehingga 2021
Dasar Privasi Peta Laman MYMesyuarat Procurement FOI
Sistem Bayaran Sewaan Premis Sistem TPSS Sistem Aduan SPAB
.