06 Dec, 2022
A- A A+

Facebook twitter You Tube Instagram

pahangtourism 

Selamat Datang Ke Laman Web Rasmi Perbadanan Kemajuan Bukit Fraser

Meriah weh pantai kat Pahang September ni - 27 Julai 2022

KIRA-KIRA 500 peserta termasuk dari luar negara bakal memeriahkan Pahang Ocean Paddle International Challenge Malaysia 2022, pada 7-11 September depan. Kejohanan yang kali pertama dianjurkan itu akan membabitkan lima peringkat dengan laluan keseluruhan sejauh 64 kilometer itu. Peringkat pertama bermula di Pantai Hiburan, Rompin; Pantai Lagenda, Pekan (kedua), Pantai Balok, Kuantan (ketiga), Pantai Cherating, Kuantan (keempat) dan Pantai Teluk Cempedak, Kuantan (kelima).

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsudin, daripada 500 peserta, 100 orang membabitkan peserta dari luar negara. Katanya, peserta luar negara yang mengesahkan penyertaan ialah dari Australia, New Zealand, Thailand, Singapura, Jepun dan Portugal. “Hadiah keseluruhan berjumlah RM300,000 yang membabitkan enam kategori dipertandingkan.  “Kita harap acara bertaraf antarabangsa ini berjalan lancar dan menarik perhatian kerana bakal disiarkan menerusi saluran media sosial setiap hari dan boleh ditonton di seluruh dunia,” katanya.

Mohd Sharkar berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Pahang Ocean Paddle International Challenge Malaysia 2022 di sini, hari ini. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN

Sumber -  Fikrah Pahang

Alhamdulillah, industri pelancongan Pahang kembali bersinar - 24 Julai 2022

RAUB: Seramai 2.23 pelancong mengunjungi Pahang pada suku kedua tahun ini, meningkat 21 peratus berbanding 1.84 juta orang pada suku pertama lalu. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi negeri, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsudin, berkata peningkatan ketara itu membuktikan industri pelancongan di negeri ini semakin pulih selepas terjejas teruk selama dua tahun akibat COVID-19. “Pembukaan semula destinasi dan tarikan baru produk pelancongan, antaranya pembukaan semula Taman Eko Rimba Kenong di Lipis, Mossy Forest (Cameron Highlands), Kuantan 188 dan Genting Skyworld  di Genting Highlands adalah contoh produk yang berjaya menarik lebih ramai pelancong ke Pahang, terutama dalam kalangan pelancong tempatan.

“Perkembangan positif ini membuatkan kita yakin mampu mencapai sasaran kunjungan lapan juta pelancong ke negeri ini untuk tahun ini,” katanya. Beliau berkata demikian pada acara penutup Pertandingan Mengenal Burung Antarabangsa ke-33 (2022) di Bukit Fraser di sini, hari ini. Majlis itu disempurnakan KDYMM Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. Hadir sama, YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar Dan Hal Ehwal Orang Asli Pahang merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Talam, Dato’ Abd Aziz Mat Kiram dan Pengurus Besar Pelancongan Pahang, Kamarudin Ibrahim. Mengulas lanjut, Mohd Sharkar berkata, pendaftaran Lipis sebagai Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) Global Geopark seperti diumumkan Wan Rosdy baru baru ini, kerajaan negeri menjangkakan ia akan memberikan impak positif membabitkan penerimaan dan pemahaman orang ramai.

“Ia sekali gus dapat mengukuhkan lagi imej Pahang sebagai negeri yang memberikan keutamaan dalam penjagaan alam sekitar selain dapat meningkatkan kepelbagaian tarikan bagi jajaran ekopelancongan di sepanjang daerah Bentong, Raub dan Lipis. “Jajaran ini sudah pun tersedia dengan tarikan ekopelancongan terkenal antaranya Merapoh, Taman Rimba Kenong, Lata Jarum, Gunung Benom dan Bukit Fraser,” katanya. – HUSIN IBRAHIM

Sumber - Fikrah Pahang

Penyu makin banyak mendarat di Kampung Juara - 28 Jun 2022

ROMPIN: Sekumpulan 30 pelancong yang bercuti di Kampung Juara, Pulau Tioman, bertuah apabila berpeluang melihat penyu jenis agar (green turtle) mendarat lebih sejam di pesisir pantai untuk bertelur, pada kira-kira 6 pagi, akhir minggu lalu. Penduduk, Hisham Mohd Asar berkata, sekurang-kurangnya 14 penyu agar mendarat untuk bertelur di Kampung Juara, berbanding antara dua dan tiga sebelum ini.  Menurutnya, pelancong yang bernasib baik berpeluang melihat penyu mendarat pada sebelah malam dan awal pagi.

“Kita tidak benarkan pelancong mengusik penyu seperti memegang, membuat bising dan menggunakan lampu ketika melihat penyu itu bagi mengelak ia merajuk. “Telur penyu dibiarkan menetas secara semulajadi. Anak penyu itu diharap mendarat semula untuk bertelur suatu hari nanti,” katanya, di sini, hari ini. Sementara itu Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Pahang, Abdullah Jaafar berkata, pelancong diingatkan tidak mengusik penyu, biarkan ia mendarat dan meninggalkan pantai secara bebas.

“Menjadi kesalahan sekiranya kita mengganggu reptilia berkenaan,” katanya. – MOHD IMRAN IZZAD.

Sumber: Fikrah Pahang

Pelari 23 negara berentap di Cameron Highlands - 18 Julai 2022

LEBIH 2,000 peserta terdiri daripada pelari dari 23 negara, bersaing dalam Cameron Ultra® 2022 (CULTRA 2022) anjuran BOLT Events Management, di Cameron Highlands, semalam. Empat kategori dipertandingkan tahun ini iaitu 100 kilometer (km), 55km, 30km dan 15km dengan cabaran untuk peserta menempuhi laluan berbukit, merentasi kebun teh dan denai hutan.

Pengarah program, Hazemi Hamidi, berkata perlumbaan edisi kelima tahun ini, menyaksikan peningkatan jumlah peserta antarabangsa dan tempatan.  “CULTRA 2022 adalah acara dinanti-nantikan peserta terutama selepas terpaksa ‘berehat’ dua tahun akibat COVID-19,” katanya.

Pelepasan peserta dilakukan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsudin jam 5 pagi semalam.  Sementara itu, Mohd Sharkar berkata, Cameron Highlands menawarkan laluan acara menarik yang pasti memberikan pengalaman istimewa yang sukar dilupakan peserta. Tambahnya, aacara sukan berkonsepkan pelancongan seperti CULTRA 2022 juga memberikan kesan positif terutama untuk merancakkan ekonomi setempat. “Kiraan mudahnya, seorang peserta pastinya datang ke sini bersama keluarga atau kawan dan sepanjang meredah bukit bukau dalam larian ini, ahli keluarga mereka akan melawat kawasan pelancongan di sini dan akan berbelanja. “Mereka mungkin menambahkan bilangan hari untuk menginap yang merupakan nilai tambah kepada ekonomi setempat,” katanya. – HUSIN IBRAHIM

Sumber - Fikrah Pahang

SKS Airways tambah penerbangan ke Tioman - 23 Jun 2022

KUALA LUMPUR: SKS Airways, syarikat penerbangan komersial yang menawarkan perkhidmatan penerbangan penumpang berjadual dan penerbangan sewa-khas, menambah kekerapan penerbangan dari Subang ke  Pulau Tioman bermula 1 Julai ini sehingga 29 Oktober depan. Dalam kenyataan medianya, SKS Airways memaklumkan, jadual penerbangan terus dari Subang ke Pulau Tioman akan ditambah kekerapan kepada dua kali sehari. “Penerbangan dari Subang ke Pulau Tioman adalah pada jam 9 pagi dan 12.40 tengah hari, manakala penerbangan dari Pulau Tioman ke Subang pada jam 10.50 pagi dan 2.30 petang dengan tambang sehala termasuk caj bermula dari RM279.

“SKS Airways melancarkan penerbangan komersial berjadual ke Pulau Redang dan Pulau Tioman sejak 31 Januari dan 1 Mei 2022 yang lalu telah merancakkan lagi industri pelancongan domestik negara,” petik kenyataan itu.  Sementara itu, Pengarah SKS Airways, Datuk Rohman Ahmad, berkata perkembangan beberapa penambahbaikan juga akan dilaksanakan pada masa akan datang termasuk melancarkan modul ‘flight+hotel booking’ dan pakej percutian SKS Airways ke Pulau Tioman selain Pulau Redang. 

“Pihak kami mengalu-alukan kerjasama dengan industri yang terbabit antaranya hotel, resort, agensi pelancongan dan jabatan pelancongan dalam mempromosikan destinasi pelancongan domestik,” katanya. Untuk maklumat lanjut, layari www.sksairways.com atau ikuti media sosial SKS Airways di Twitter (twitter.com/sksairways), Facebook (facebook.com/sksairways), Instagram (@sksairways) dan LinkedIn (SKS Airways). – Husin Ibrahim

Sumber : Fikrah Pahang

 mygov sukpahang pemudah hrmis bpa iim jpa ksn mampu msc spa spr

Jumlah keseluruhan kedatangan pelancong ke Pahang dari tahun 2015 sehingga 2021
Dasar Privasi Peta Laman MYMesyuarat Procurement FOI
Sistem Bayaran Sewaan Premis Sistem TPSS Sistem Aduan SPAB
.