KUANTAN – Kerajaan Pahang melalui Tourism Pahang memilih India sebagai pasaran baharu dengan penganjuran Jelajah Promosi Pelancongan Pahang 2025 ke negara berkenaan pada bulan ini. Jelajah tersebut bakal diadakan di Hotel The Royal Plaza, New Delhi pada 24 September, dan The Park Chennai, Chennai pada 26 September. Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Leong Yu Man berkata, jelajah itu memberi tumpuan kepada sesi business to business (B2B) melibatkan ejen pelancongan, pengusaha industri, syarikat penerbangan dan rakan media dari India.
Menurutnya, matlamat utama jelajah ini adalah untuk memperkukuh kerjasama strategik antara industri pelancongan Pahang dan India serta membuka peluang bagi pakej percutian yang lebih menarik dan tersusun. “Pahang akan memperkenalkan pelbagai produk pelancongan ikonik, antaranya Bukit Fraser, Genting Highlands dan Cameron Highlands yang menonjolkan tarikan percutian tanah tinggi.
“Bagi destinasi pantai eksotik pula, antara yang diketengahkan ialah Cherating dan Pulau Tioman, selain keunikan Taman Negara yang berusia lebih 130 juta tahun,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin. Tambahnya, aktiviti ekopelancongan yang turut diperkenalkan termasuk Lipis Geopark (Gua Batu Kapur yang menarik di Merapoh), konservasi penyu, serta pengalaman rail tourism yang menghubungkan kawasan-kawasan indah di negeri ini. Selain pelancongan santai, Yu Man berkata, pihaknya turut mengetengahkan potensi Pahang sebagai destinasi MICE (Meetings, Incentives, Conferences and Exhibitions), lokasi perkahwinan, bulan madu serta pelancongan khusus mengikut minat. “Inisiatif ini bukan sekadar promosi pelancongan, sebaliknya peluang untuk membina jambatan kerjasama dan memperkukuh hubungan dengan pasaran India yang besar.
“Dengan langkah ini, Pahang yakin dapat menempatkan diri sebagai destinasi pilihan utama menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026, sekali gus memperkukuh imej negeri sebagai ‘The Heart of Malaysia’,” katanya.
Sumber : Sinar Harian