RAUB, 22 JUN 2025 : Pertandingan Mengenal Burung Antarabangsa Bukit Fraser Ke-36 merekodkan penyertaan tertinggi setakat penganjurannya sejak 1988 iaitu seramai hampir 400 peserta. Menurut Pengurus Besar Tourism Pahang, YBhg. Tuan Kamaruddin Ibrahim, peningkatan ini disebabkan promosi yang dijalankan oleh rakan strategik dan para peserta pertandingan sebelum ini.
“Alhamdulillah tahun ini kita dapat penyertaan yang ramai lebih kurang 130 pasukan dan ia merupakan penyertaan paling ramai setakat ini. Ia termasuklah peserta luar negara daripada 14 buah negara seperti Singapura, India, Sri Lanka, Australia, China, Japan, Thailand, Philippines, dan lain-lain. “Kita mendapat banyak penyertaan dari luar ini disebabkan publisiti dan promosi yang dilakukan oleh banyak pihak yang membantu kita, dari rakan strategik kita, seperti Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), Bird Life International, dan pelbagai pihak lagi.
“Dan ada juga penyertaan yang kita terima hasil promosi mulut ke mulut di mana mereka pernah menjadi peserta dahulu, dan kemudian mereka promosikan ke negara mereka mengenai keunikan bird race di tempat kita dan ini menyebabkan mereka tertarik untuk datang,” katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Penutup Pertandingan Mengenal Burung Antarabangsa Bukit Fraser Ke-36 di Pentas Terbuka Bukit Fraser yang berlangsung selama dua hari bermula semalam.
Turut hadir, Ahli Lembaga Pengarah Tourism Pahang, YH. Dato’ Ishak Mokhtar; dan Bahagian Dasar Pelancongan dan Hubungan Antarabangsa, Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya Malaysia, Ybrs. Cik Yong Ee Chin. Beliau berkata pertandingan kali ini turut merekodkan banyak penyertaan negara baharu seperti Bhutan, Nepal, dan Vietnam disamping pertambahan jumlah penyertaan peserta dari luar negara. Tambah beliau, pengajuran pertandingan ini juga telah menarik perhatian Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dari negeri lain untuk belajar dan menjadikan Bukit Fraser sebagai penanda aras pengajuran seumpamanya.
“Pihak PBT dari Iskandar Puteri juga ada approach kita untuk belajar cara pengurusan dan perkara berkaitan pertandingan ini. Kita merasa gembira kerana pertandingan ini mendapat perhatian dan sokongan daripada banyak pihak termasuk NGO, PBT, dan agensi kerajaan yang lain. “Dan ini kelebihan kepada kita di Pahang kerana Bukit Fraser merupkan tanah tinggi yang kekal dengan memelihara alam sekitar dan kita boleh tengok tidak ada pembangunan baharu kecuali penambahbaikan sahaja dijalankan di kawasan ini.
“Para peserta juga menyatakan dapat lihat lebih kurang 90 spesis burung pada pertandingan kali ini yang bermaksud kawasan ini masih kekal sebagai habitat burung yang penting,” katanya. Pertandingan yang melibatkan tiga kategori utama ini merekodkan pasukan dari Malaysian Rail Forest Station (MRS) Pahang muncul johon bagi kategori Advance; manakala pasukan Wingpecker dari Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) muncul johan kategori Novice; dan pasukan Storm Wings dari Kolej Tingkatan Enam Seri Lipis johan bagi kategori Pelajar. Bagi kategori Bird Photography Contest 2025, johan disandang oleh Ng Choy Loi, dan naib johan disandang Junaidi Ismail, kedua-duanya dari Malaysia, diikuti peserta Vietnam, Le Hoang Men bagi tempat ketiga. -PAHANGMEDIA