KUANTAN, 18 NOVEMBER 2025 : Program Destinasi Makan-Makan Selamat Negeri Pahang (DMMSNP) 2025 yang julung kali diadakan menjadi platform menarik kehadiran pelancong ke negeri ini sempena Tahun Melawat Malaysia 2026. Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Ir. Razali Kassim, progam ini bagi memperkukuh standard kebersihan, keselamatan, dan kualiti premis makanan di seluruh negeri “Pelaksanaan DMMSNP bukan sahaja memperkukuh aspek kebersihan dan keselamatan makanan, tetapi juga memastikan setiap premis makanan di Negeri Pahang menyajikan hidangan yang enak, berkualiti dan benar-benar mencerminkan keunikan cita rasa Pahang.
“Program ini bukan sekadar mengetengahkan sajian signature dan viral, tetapi turut memastikan persekitaran premis sentiasa bersih, teratur dan diyakini selaras dengan aspirasi Pahang First.
“Usaha berterusan ini bukan sahaja memastikan imej Negeri Pahang sentiasa terpelihara sebagai destinasi makan-makan yang selamat dan diyakini, malah menjadi pelengkap kepada persiapan Tahun Melawat Malaysia 2026, dengan menjadikan Pahang sebagainantara destinasi pilihan utama pelancong tempatan dan antarabangsa,” katanya. Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pengiktirafan Program Destinasi Makan Makan Selamat Negeri Pahang (DMMSNP) Tahun 2025 di Hotel Grand DarulMakmur.
Beliau berkata pengiktirafan 52 premis makanan di sebelah daerah di negeri ini dapat meningkatkan keyakinan rakyat dan pelancong, selain memastikan keselamatan pengguna. “Melalui usaha bersepadu ini, kita bukan sahaja mempertingkat keyakinan rakyat dan pelancong, malah memastikan keselamatan pengguna serta mengelakkan berlakunya kejadian keracunan makanan. “Dengan komitmen dan kerjasama semua pihak, saya yakin Pahang akan terus dikenali bukan sahaja kerana keistimewaan hidangannya, tetapi juga kerana tahap keselamatan dan kebersihan premis makanan yang tinggi dan diyakini,” katanya. Tambah beliau kesemua premis yang dipilih ini telah memenuhi empat komponen utama penilaian menyeluruh yang dijalankan agensi berkaitan bagi memperkukuhkan imej Negeri Pahang sebagai destinasi pilihan bagi hidangan yang selamat, enak, dan berkualiti.
“Pengiktirafan ini dilaksanakan melalui penilaian menyeluruh melibatkan empat komponen utama. Pertama, aspek kebersihan dan keselamatan makanan bagi memastikan makanan disediakan dengan selamat dan premis sentiasa terjaga. Kedua, pemantauan Halal dan Syariah Asas termasuk semakan sumber bahan mentah, rekod pembelian, serta kewujudan sekurang-kurangnya seorang pekerja Muslim warganegara bagi memastikan amalan pengendalian makanan selaras prinsip syariah. “Ketiga, pematuhan KPDN, meliputi paparan senarai harga, penggunaan alat timbang yang sah, dan kawal selia penggunaan logo halal bagi mengelakkan kekeliruan pengguna. “Keempat, pemantauan PBT yang memberi fokus kepada lesen premis, penyelenggaraan perangkap minyak, penarafan tandas, tiada penggunaan polistirena, serta usaha memelihara kebersihan dan keceriaan premis,” katanya. -PAHANGMEDIA











