KUANTAN, 12 DISEMBER 2025 : Dua kanopi utama Taman Negara Kuala Tahan yang terjejas selepas masing-masing mengalami kerosakan akibat ribut dalam dua kejadian berasingan sejak tahun lalu kini dalam proses pembaikan.
Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, YB. Puan Leong Yu Man, berkata Kanopi Teresek yang berusia lebih 30 tahun kini melalui kerja-kerja pembaikan sejak penghujung 2024 dan pada asalnya dijadualkan siap Mei lalu.
“Apabila kerja mencapai utahan 80 peratus, ribut petir berlaku, dan menyebabkan salah satu pokok utama ditimpa petir dan mati,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan yang dikemukakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tahan, YB Tuan Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin dalam Mesyuarat ke-3 Penggal ke-4 Dewan Negeri Pahang ke-15 bertempat di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Susulan insiden itu katanya, pihak jabatan terlibat perlu memohon peruntukan tambahan bagi menampung kos pembaikan seterusnya.
Bagi Kanopi Seberang Ara pula, ianya telah siap sepenuhnya tahun lalu dan diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) pada Julai 2024 namun mengalami kerosakan besar selepas ribut melanda Februari tahun ini.
“Tapi malangnya pada Februari tahun ini, ribut berlaku lagi dan menyebabkan pokok tumbang. Jadi apabila pokok tumbang ia telah mengakibatkan kerosakan yang major,” ujarnya.
Tambahnya, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) kemudiannya meluluskan peruntukan tambahan untuk kerja pembinaan semula yang telah bermula pada 10 November lalu. Kerja berkenaan dijangka siap sepenuhnya pada Mac 2026.
Sumber -PAHANGMEDIA











