KUANTAN, 28 SEPTEMBER 2026 : Kerajaan Negeri Pahang memperuntukkan RM1 juta bagi pelaksanaan kursus-kursus khusus dalam usaha memperkukuh kemahiran, pengetahuan dan keupayaan pemain industri pelancongan di negeri ini. Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, YB Puan Leong Yu Man berkata, peruntukan berkenaan merupakan antara usaha Kerajaan Negeri dalam membangunkan sektor pelancongan, khususnya menerusi peningkatan kualiti barisan hadapan industri.
“Dalam salah satu elemen sempena tahun melawat Malaysia, Kerajaan Negeri Pahang meluluskan jumlah RM1 juta untuk kursus-kursus khusus. “Ini menunjukkan bahawa kita serius untuk memberikan latihan, kemahiran dan pengetahuan kepada barisan hadapan serta pemain industri pelancongan supaya mereka dapat meningkatkan lagi kualiti dalam sektor pelancongan ini.
“Salah satu kursus yang dianjurkan adalah Jelajah Hospitaliti MOH ke Pahang yang melibatkan 11 daerah dan dua tempat pelancongan,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Perasmian Penutup Jelajah Duta Hospitaliti MOH Ke Pahang 2026 di Hotel Grand Darul Makmur, di sini hari ini. Beliau berkata, sepanjang pelaksanaan jelajah itu, peserta didedahkan kepada empat elemen utama merangkumi Duta Hospitaliti, grooming checklist, panduan kecemasan serta kaedah menangani aduan.
“Peserta ini datang daripada pelbagai latar belakang dan komponen industri pelancongan di seluruh Pahang. “Mereka juga secara sukarela memilih untuk menyertai program ini, menunjukkan adanya inisiatif dan hasrat untuk menjadi duta hospitaliti. “Saya percaya mereka dapat membawa impak kepada pemain industri di sekeliling mereka dengan berkongsi ilmu, kemahiran dan budaya kerja yang baik,” katanya. Dalam pada itu, YB Puan Leong Yu Man berkata, Kerajaan Negeri sentiasa terbuka untuk menerima serta mendengar sebarang aduan daripada pemain industri pelancongan dan menanganinya secara kes demi kes. Beliau berkata, pihaknya berharap program seumpama itu dapat diteruskan pada masa akan datang sekiranya mendapat sokongan dan peruntukan yang bersesuaian. “Kita berharap kalau ada sambungan lagi, kita juga perlulah membantu dari segi bajet dan penyelesaian projek ini,” katanya. Jelajah Duta Hospitaliti MOH Ke Pahang 2026 turut dilaksanakan dengan kerjasama IWYL Enterprise sebagai rakan strategik bagi menyediakan tenaga pengajar dan penceramah berpengalaman dalam bidang masing-masing.
Sumber - PAHANGMEDIA







